Nak Pikat Lelaki Idaman?

Sunday 24 July 2016

SAYA TAK PANDAI BACA AL-QURAN?


Setiap kali bila tiba hari nuzul al-Quran, mesti saya akan teringat dengan satu peristiwa yang saya lalui sendiri masa tahun 1 di UKM dulu. Peristiwa yang kadang-kadang saya rasa kelakar, kadang saya rasa syukur, dan kadang saya rasa sedih. Hehe.

Apa kisahnya? Ok macam ni. Baca sampai habis la huhu.

Dulu masa saya first year dan first semester di UKM, secara jujurnya, saya memang tergagap dan merangkak baca al-Quran. Bukan tak pandai, tapi tergagap dan merangkak-rangak baca. Sebab dah laaama sangat tak membaca al-Quran. Dah la tergagap dan merangkak baca, tajwid pun entah ke mana. Panjang pendek pun terabur. Tarannum? Ke laut la nak..

Siapa yang kenal saya secara peribadi, mungkin akan tahu apa yang berlaku sebelum tu. Tapi secara roughly, masa saya zaman sekolah, memang malas baca al-Quran. Masa matrikulasi pun, baca al-Quran ala kadar je. Sebab gagap dan MALU untuk minta orang ajar. Itu yang akhirnya berterusan gagap dan merangkak-rangkak baca al-Quran sampai masuk universiti. Huhu.

Jadi masa saya mula-mula masuk kampus, saya berazam dan tekad nak perbaiki bacaan al-Quran saya. Tetapi sayangnya, saya BERTANGGUH-TANGGUH la pulak nak perbaikinya sampailah masuk bulan Ramadhan. Dan masa bulan Ramadhan tu, saya tekadkan semula untuk perbaiki bacaan al -Quran saya. Suatu petang, masa hari nuzul al-Quran (macam hari ni), dan ketika saya tengah mereput dalam bilik kebosanan sambil menyaksikan monyet yang terlompat-lompat berhadapan dengan bilik, tiba-tiba roommate saya cakap pada saya,
“Shukery, petang ni ada tadarus al-Quran kat masjid UKM. Nak ikut sekali weh?” 
Saya terdiam kejap. Lepas tu saya terfikir, inilah masa saya betulkan bacaan al-Quran saya. Allah dah tunjukkan jalan. Kalau bukan hari ni, bila lagi kan? Mana tahu kat situ jumpa ustaz-ustaz yang pandai tajwid. Tanpa fikir panjang saya pun kata,
“Ok jom. Aku pergi mandi kejap.”

**********
Lepas solat asar, kami pun terus ke Masjid UKM menaiki motor roommate saya. Sampai saja masjid, kami terus naik ke tingkat atas sebab katanya, tadarus tu buat kat tingkat atas masjid. Bila sampai je tingkat atas, saya nampak ada beberapa budak lelaki (ramai juga la), yang sedang duduk dalam bulatan, macam tengah usrah. Tapi dalam sekitar 20 orang kot. Tak pasti.

Saya pun duduk la sekali sebelah roomate saya. Hati saya tiba-tiba rasa excited semacam, sebab saya rasa syukur sangat boleh belajar dan perbaiki bacaan saya. Hehe. Kemudian, kami semua dapat 1 naskah al-Quran setiap seorang. Dan kami disuruh untuk buka juzuk Amma (juzuk 30). Saya pun buka, nampak surah An Naba’.

Tiba-tiba, ada seorang abang ni, dia berdiri bersebelahan bulatan kami sambil pegang mikrofon, dan bercakap,
“Assaalamualaikum kepada semua warga UKM. InsyaAllah petang ini kami akan mengadakan tadarus al-Quran juzuk ke 30. Kepada sesiapa yang berkesempatan, bolehlah datang ke Masjid UKM. Terima kasih..”
Saya dah terdiam. Masa tu dalam kepala saya dah fikir something. Tapi saya tak nak layan sangkaan saya tu. Saya mengharapkan sangkaan saya itu meleset.

Tetapi..
Tiba-tiba abang tu serahkan mikrofon kepada lelaki kat sebelah dia yang tengah duduk dalam bulatan kami. Lelaki tu ambil mikrofon, sambil menatap al-Quran di depan dia, lalu dia pun mula membaca surah an Naba’ menggunakan mikrofon tu. Selepas lelaki tu habis surah an Naba’, dia serahkan mikrofon tu kepada orang sebelah dia untuk baca surah An Naziat. Dan begitulah seterusnya.

Gulp!!
Tiba-tiba tangan saya menjadi sejuk, jantung saya berdegup kencang, dan peluh dingin merecik di dahi saya. Sangkaan saya yang tadi tak meleset. 

Kenapa saya risau dan cuak sangat?

Kalau korang nak tahu, mikrofon yang diorang guna tu, hampir seluruh UKM boleh dengar !! Maksudnya, bila kami baca al-Quran menggunakan mikrofon tu, hampir seluruh UKM boleh dengar bacaan kami petang tu!

Ah sudah!!
Saya terus mengira agak-agak berapa orang lagi sebelum sampai pada saya, dan saya check saya kena baca surah apa. Bila kira-kira, ingat kena surah yang saya hafal, sekali rupanya saya kena baca surah al Buruj. Dah la tak hafal langsung. Alamak!!!

Saya pun cuba practice baca, tetapi sayangnya, nak baca ayat pertama pun tergagap-gagap dan merangkak. Aduh.. Masa tu dalam kepala saya hanya fikir nak pergi tandas, nak balik bilik, nak lari, rasa menyesal datang, dan macam-macam lagi.

Mikrofon tu dah menghampiri saya, jantung saya semakin berdebar kencang. Maluuu kot kalau semua orang dalam UKM dengar bacaan saya. Bertambah malu dengan budak-budak yang ada dalam bulatan tu kalau dengar saya baca tergagap dan merangkak macam tak reti baca al-Quran. Masa tu saya cakap dalam hati,
“Ya Allah, aku minta ampun ya Allah sebab bertangguh belajar Quran. Aku minta ampun sebab malas baca Quran. Ya Allah, jangan buka aib aku, jangan buka aib aku. Aku malu ya Allah. Malu. Jangan buka aib aku.. Aku janji lepas ni aku akan belajar al Quran sungguh-sungguh.
Aku janji ya Allah..”

Masa saya tengah cemas dan risau, mikrofon dah ada di sebelah saya. Alamak. Matilanakkk..!!! Habis je orang sebelah saya baca surah al Inshiqaq, mikrofon di serahkan pada saya. Arghhhhh!!!

Lalu saya pun mula membaca dengan jantung yang penuh berdebar gila, tangan sejuk dan cemas.
“Bi…bis..millah…hirrohman… nirrohim… wa… was.. wassama…”

Saya baca dengan tergagapp dan merangkak sangat-sangat. Bayangkan, baca bismillah pun saya merangkak dan tergagap! Punya takut dan cemas tu. Malu gila kot. Sumpah malu tahap kritikal. Saya dapat rasakan semua orang dalam bulatan tu memandang saya.

Ya Allah. Masa tu, hanya Allah je yang tahu betapa malunyaa saya. Merah gila muka. Rasa macam nak berhenti UKM je dan balik Johor. Malu gila kot! Dalam keadaan malu tu, dalam hati saya merayu-rayu supaya Allah tutup aib saya, ampunkan dosa saya, saya janji macam-macam dengan Allah.

Lepas baca 2,3 ayat, saya menangis. Saya baca sambil menangis teresak-esak hingga kepala saya pening, dan mushaf al Quran tu basah dengan air mata saya! Saya tak pernah menangis seteruk itu kecuali masa saya kecik dulu je.

Bila saya dah sampai ayat yang ke 18, orang kiri dan kanan saya turut membaca surah al Buruj tu dengan nada yang kuat supaya dapat ‘cover’ bacaan saya, dan melancarkan bacaan saya.

Ye la, orang lain baca tak sampai 10 minit pun, saya baca surah al buruj yang 22 ayat dan hanya 1 muka surat tu je dah nak dekat 20 minit. Punya teruk merangkak-rangkak bacaan saya.

Habis je baca surah al buruj, saya serahkan mikrofon ke orang sebelah kiri saya untuk dia baca surah seterusnya. Dan saya pula terus menerus menangis kerana malu teramat sangat, dan rasa aib saya dibuka seluas-luasnya. Maluuu sangat!!!

Lepas habis je orang terakhir baca surah An Nas, dan lepas baca doa khatam al Quran, saya terus bergegas ke bilik air untuk basuh muka di sinki. Saya tengok mata saya merah sangat, dengan kepala yang sangat pening. Saya kalau menangis teruk, kepala saya akan pening, dan mata saya akan merah macam warna logo youtube. Saya basuh muka lagi, dan saya mengadap cermin.

“Malunya aku ya Allah. Mungkin ni dosa aku yang banyak sangat, dan mungkin dosa aku suka buka aib orang, sampai Allah buka aib aku. Malunya..”
Masa tu saya nak keluar bilik air pun segan. Tapi apa kan daya, saya kuatkan semangat, keluar bilik air, dan saya nak cari roomate saya ajak balik.

Kemudian saya nampak roomate saya sedang berdiri berbual dengan budak-budak yang dalam bulatan tadarus al-Quran saya tadi. Saya tebalkan muka pergi ke arah roomate saya, dan berdiri sebelah dia dengan harapan nak ajak dia balik. Semua budak-budak kat situ memandang saya. Saya diam je.

Tiba-tiba ada salah seorang dari mereka cakap,
“Ana dah lama tak baca al-Quran sambil menangis. Sedangkan Nabi ajar suruh baca al Quran sambil menangis..”

Saya terdiam. Saya cakap dalam hati,

“Kau menganjing (perli) aku ke apa ni?”
Masa tu saya ingat dia nak ‘bahan’ dan perli saya. Tetapi sangkaan saya meleset. 

Tiba-tiba ada seorang yang lain pula cakap,
“Betul la. Sekarang ni susah nak jumpa orang yang baca al-Quran boleh menangis teresak-esak. Orang yang boleh menangis ni memang ana respect gila la. Menghayati sungguh2 ayat al Quran..”

Semua kat situ angguk setuju. Saya terdiam kelu dan sedikit terpinga-pinga. Dan masa tu baru saya faham, mereka bukan perli saya, tetapi mereka memang sangka saya betul-betul menghayati bacaan al-Quran tu sampai menangis. Mereka ingat saya faham surah al buruj tu, lalu saya baca sampai menangis sebab terlalu menghayati surah tu.

Mereka langsung TAK TAHU pun yang saya menangis sebab saya malu dan tergagap baca al-Quran. Bukan sebab faham apatah lagi menghayati. Haha. Masa tu perasaan saya campur aduk, antara syukur, kelakar, serba salah, dan macam2. Tetapi memang rasa macam nak sujud syukur sangat sebab Allah “plot twist” kan peristiwa tu. Syukur sangat-sangat. Hehee..

Saya tersenyum simpul dengar kata2 mereka. Saya diam je.
Sejak dari peristiwa tu, malam itu juga saya terus mencari seorang kawan saya, nama dia ustaz Abu Aflah Abdillah, dia hafiz al-Quran, lepasan DQ dan lepasan pondok tetapi batch saya, untuk belajar tajwid dan al-Quran dengan dia setiap hari. Hampir setiap hari saya ketuk bilik dia untuk minta dia ajar saya al-Quran sehinggalah alhamdulillah saya kembali lancar dan tajwid pun okay la. Takdela perfect, tapi lebih baik dari sebelum ni la. Hehe.

Oh ya, sekarang ustaz Abdillah dah mengajar di MRSM Ulul Albab Kota Putra (kopu), terengganu sambil jual emas. Terima kasih syeikh sudi ajar dulu.

********
Pengajaran dari pengalaman pendek saya ni,
1. Jangan malu tak kena tempat untuk belajar al-Quran walaupun kita dah masuk universiti, dah berkerja atau dah berkahwin sekalipun. Takde istilah “terlambat” dalam belajar, kecuali kalau dah jadi mayat.

2. Azam dan tekad bulat untuk belajar al-Quran. Kena serius. InsyaAllah, Allah akan mudahkan jalan. Walaupun mungkin ada “plot twist” sikit. Hehe.

3. Jangan bertangguh belajar al-Quran. Jangan bertangguh-tangguh. Kalau esok dah jadi mayat, apa kita nak jawab depan Allah nanti?

4. Ramai je orang mengajar al-Quran di sekeliling kita. Cuma nak tak nak je. JANGAN MALU untuk mula belajar walau kena mula dari Iqra’ 1. Allah tengok usaha kita.
5. Macam mana nak start berubah? Saya ada tulis detail dalam buku saya bertajuk Aku Bukan Malaikat.

6. Kalau nak share, sharelah ke seluruh alam. Supaya ramai boleh dapat manfaat. Err.. kalau tak keberatan, kredit la pada saya supaya boleh saya jejak tulisan saya terbang ke mana. Hehe
– Shukery Azizan –

No comments:

Post a Comment

@arabperfumez Info :

@arabperfumez is an online store which is selling 100% AUTHENTIC miniature, tester and full size perfume, giftset and also wholesale vials. . @arabpefumez have been founded and established since 2015. Since then, the company have been growing everyday. We strive to be one of the top and best online perfume store out there. .

KEEP CALM AND SMELL GOOD!! http://arabperfumes.shoppy.my